Kegusaran itu sudah tentu menghantui penyokong memandangkan kali terakhir Selangor FC berentap di pentas Asia adalah pada 2016 selepas menjuarai Piala Malaysia pada tahun sebelumnya.
Namun, tanda tanya berkenaan akhirnya terjawab selepas Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor Paul John menyatakan slot dimiliki naib juara Liga Super 2023 itu tidak akan dibatalkan.
“Buat masa ini, untuk kita, dua wakil negara ke kejohanan kelab AFC ialah JDT dan Selangor. Tetapi harus diingat, apa saja keputusan yang harus dibuat, daripada pengalaman kita di AFC, hanya diguna pakai dalam liga domestik.
“Sama ada pemotongan markah, denda atau apa saja (hukuman) yang dibuat (pengendali liga), itu hanya dibuat untuk liga tempatan,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi pada Selasa.
Skuad kendalian Nidzam Jamil berpeluang beraksi dalam ACL2 2024/25 selepas menamatkan saingan Liga Super di tangga kedua, sekali gus menamatkan penantian lapan tahun untuk layak ke pertandingan kelolaan AFC.
Selangor FC sebelum ini mengambil keputusan untuk tidak beraksi dalam Piala Sumbangsih berikutan serangan simbahan asid dialami tonggak pasukan, Faisal Halim beberapa hari sebelum itu.
Di samping itu, beberapa staf pasukan dilaporkan diugut pihak tidak dikenali yang menimbulkan kegusaran sehingga menyaksikan mereka menarik diri dan mengalami kekalahan 0-3 secara automatik.